Tak Nak Jadi Anti Sosial Berhenti Pakai Telefon

. Jumat, 20 Desember 2013

Pengarah dan penerbit terkenal Aziz M. Osman memberitahu dia sekarang sedang melatih dirinya untuk tidak menggunakan telefon bimbit sejak beberapa bulan lalu.

Keputusan tersebut dibuat apabila beliau mula merasakan kecanggihan telefon bimbit zaman sekarang membuatkan diri seseorang itu melupakan aktiviti serta pergaulan dengan orang-orang sekeliling, baik dengan rakan-rakan ataupun ahli keluarga.

Lebih membuatkan beliau nekad untuk tidak menggunakan telefon bimbit ialah apabila anak-anaknya meminta beliau membelikan telefon pintar dan macam-macam gadjet lain.

“Sebelum ni saya pakai telefon. Tapi dah 3, 4 bulan saya melatih diri saya untuk tak pakai telefon. Saya berhenti pakai telefon sejak anak saya mula minta belikan ipad lah, iPhone lah, tablet dan macam-macam lah gadjet zaman sekarang.

“Lagipun dah jadi macam satu kebiasaan sekarang, semua orang kalau ada telefon di tangan tu asyik leka dengan telefon. Kalau duduk berkumpul bersama pun, dah tak berbual sangat dah tapi masing-masing leka dengan telefon. Saya rasa cara tu tak sihat. Nanti lama-lama kita tak pandai nak bergaul dengan orang sebab asyik dengan telefon saja.

“Tapi saya tidak la berhenti memakai telefon untuk selamanya. Saya ni sebenarnya peminat tegar iPhone. Jadi selagi saya tak dapat miliki iPhone 5S, selagi tu lah saya tak mahu pakai telefon”, katanya ketika ditemui di Booth Camp Liga Lawak Superstar di Hulu Langat, semalam.

Dalam rancangan terbaru TV3 itu, Aziz bertindak sebagai salah seorang daripada lapan komedian yang bertanggungjawab memberi panduan, tunjuk ajar serta strategi kepada ahli pasukan masing-masing untuk berjaya. Liga Lawak Superstar merupakan idea cetusan pengarah dan penerbit serba boleh, Afdlin Shauki.

Berhenti Buat Drama

Dalam pada itu Aziz memberitahu dia kini sudah berhenti mengarahkan drama televisyen tetapi masih lagi menerbitkan drama mahupun filem.

“Saya dah berhenti mengarah drama TV. Saya berhenti sebab saya rasa saya tak boleh sampaikan cerita yang mengikut selera penonton sekarang. Kalau saya penuhi citarasa penonton ia akan membuatkan saya terpaksa lari daripada prinsip saya. Kalau saya nak hasilkan satu-satu drama itu, saya nak buat tanpa rasa terdesak”, tutur pengarah drama bersiri Demi Dia ini lagi.

Perkembangan lain, beliau kini sedang dalam proses menyiapkan filem terbarunya yang diberi judul Penunggu. Filem paranormal itu dibintangi pelakon seperti Reizman Khuzaimi dan Ramona Zam Zam. Beliau juga sedang merancang untuk menghasilkan sebuah filem patriotik.

“Selain siapkan Penunggu, saya sedang mencari bahan untuk filem patriotik saya berjudul Tanjong Katong”, kataya yang pernah menghasilkan filem patriotik, Leftenan Adnan. – Malaysian Digest

0 komentar: