Mandela dibenar keluar hospital
SEBUAH ambulans yang didakwa membawa Mandela dilihat berada di luar rumah tokoh tersebut di Houghton, Johannesburg semalam.
JOHANNESBURG - Ikon anti-aparteid, Nelson Mandela (gambar kecil) dibenarkan keluar daripada hospital semalam dan dibawa pulang ke rumahnya di sini ketika beliau masih dalam keadaan kritikal, kata pejabat presiden Afrika Selatan.
Bekas Presiden Afrika Selatan itu sebelum ini dimasukkan ke hospital di Pretoria sejak 8 Jun lalu ekoran jangkitan paru-paru berulang.
Presiden Jacob Zuma dalam satu kenyataan berkata, Mandela berada dalam keadaan tidak stabil pada masa ini.
"Rumahnya telah diubah suai bagi membolehkan beliau menerima rawatan rapi di sana.
"Jururawat yang bertanggungjawab terhadap kesihatan Mandela adalah sama seperti diterimanya di hospital," kata kenyataan itu.
Pemenang Hadiah Nobel Keamanan berusia 95 tahun itu diraikan di seluruh dunia sebagai tokoh yang menjulang tinggi perdamaian.
Beliau pernah dipenjarakan selama 27 tahun kerana menentang pemerintahan minoriti kulit putih di Afrika Selatan.
Namun, selepas dibebaskan pada 1990, Mandela melakukan rundingan yang menamatkan pemerintahan aparteid di negara itu.
Beliau yang mesra dipanggil Madiba memenangi pilihan raya pertama di negara itu yang diadakan melalui proses demokrasi sepenuhnya pada tahun 1994. - AP
0 komentar:
Posting Komentar